Siapa yang dapat menjamin bahawa datang Ramadhan yang tahun depan, dia masih ada, bukan cuma tinggal nama; dikenang orang yang terdekat cuma, tiada riuh rendah bertarawikh bersama, tiada kegirangan bersiap kuih muih dan baju raya, tiada menghulur tangan meminta ampun maaf.
Perasaan hiba ini bertandang sejak setahun lepas. Ketika hari-hari terakhir Ramadhan tahun lepas, perasaan begini juga menghantui diriku. Semakin riuh rendah disogokkan dengan iklan Hari Raya, semakin hiba aku. Ya Allah! Aku ingin sentiasa di dalam bulan rahmat MU.
Pada awal Ramadhan ustaz ku berpesan , Nabi Muhammad telah mengaminkan doa Jibril, Celakalah orang yang tidak diampunkan dosa nya setelah Ramadhan berakhir.
Penghambaan diri secara mutlak sepanjang Ramadhan kepada Yang Maha Esa sahaja yang memungkinkan dosa diampunkan, bukan semudah menadah tangan meminta itu ini. Penghambaan secara total, menyeluruh, padu, penuh syahdu dalam menjalani ibadah puasa di siang hari dan menghidupkan malam-malamnya dengan pembersihan jiwa melalui Qiyamullail, membaca Al Quran dan zikrullah, semoga ibadah kita diterima.
Tergolongkah aku dalam golongan yang di rahmati Allah? Sisa-sisa Ramadhan ini, masih bolehkah aku mempertingkatkan kedudukan ku di samping MU? Ya Allah, kerdilnya aku! Aku cumalah seorang musafir yang sesat di perjalanan dan ingin kembali ke Sirattul Mustaqeem, pimpinlah aku ya Allah!
Aku masih berharap dan berdoa aku tidak tergolong di kalangan hamba mu yang alpa, yang hati nya mati walupun jasadnya masih bernyawa.
Pesan Ustaz ku lagi, hati mati kerana:
1) Kamu kenal Allah, tetapi kamu tidak tunai hak kepada Allah
2) Kamu kata kasih kepada Rasulallah saw, tetapi kamu tinggal sunnah nya.
3) Kamu baca Al Quran tetapi kamu tidak beramal dengannya
4) Kamu makan nikmat Allah, tetapi kamu tidak bersyukur kepada pemberi nikmat
5) Kamu tahu syaitan itu jahat, tetapi kamu tidak lari daripadanya.
6) Kamu inginkan syurga tetapi kamu tidak berusaha untuk mendapatnya.
Wahai diri, muhasabah lah hati, agar dapat ku kawal nafsu dengan puasa ini, agar dapat ku bentuk peribadi dengan menahan diri, agar dapat ku menjadi hamba abdi yang sejati.
"Wahai Tuhan kami, jadikanlah hari kami yang terbaik adalah hari kami bertemu MU"
DO`A
Aku meminta
Sesungguhnya Kau pemurah
Ampuni segala dosa ku
Kesejahteraan
Kedamaian
keimanan
ketakwaan
pinta ku dari mu Tuhan
Selawat serta salam buat Nabi junjungan
kepada muslimin dan juga muslimat
Ya Allah ya Tuhanku
aku mendengar seruan
dan hanya kepadaMU aku beriman
keranaMU aku disini
kepada Mu aku kembali
apabila tiba saat nya nanti
sehingga tiba detik itu
aku memohon hanya dari MU
Kau peliharailah diriku
Dengan nama Mu
Allah YANG AGUNG
YANG PENGASIH
YANG PENGAMPUN
kepada MU
aku berlindung
In one of my sober moods...