Showing posts with label puasa 6. Show all posts
Showing posts with label puasa 6. Show all posts

Thursday, October 1, 2009

Reflections

1 Syawal...hari kemenangan untuk semua umat Islam yang telah berjaya menghambakan diri mematuhi syari`at Islam agama yang syumul.

Berpuasa sepanjang Ramadhan bukanlah sekadar menahan diri dari makan, minum, bersetubuh di siang hari dan perbuatan-perbuatan lain yang membatalkannya.

Namun untuk kebanyakan dari kita, itulah saja yang kita buat.

Sepanjang Ramadhan, hatiku menangis hiba menyaksikan pelbagai pembaziran yang dilakukan atas nama PUASA! Di rata-rata surau, mesjid lebih-lebih lagi di kawasan yang agak mewah persekitarannya, persiapan iftar lebih daripada keperluan. Iftar, solat, kemudian moreh. Hasilnya, banyak makanan terbuang sebab perut masing-masing sendat berisi.

(Dan aku berfikir, tentu ada insan yang berbuka puasa ala kadar dan akan menangis kesyukuran jika dapat menjamah makanan yang terbuang begini)

Bukan seorang dua yang berbisik pada ku di Syawal ini, ` berat badan ku bertambah di bulan puasa' dan `waktu tak puasa, makan nasi sekali sehari, bulan puasa makan nasi 2 kali sehari' juga 'keadaan kesihatan ku lebih baik di bulan puasa'.

Omongan ini membuat aku ketawa di depan yang berucap, tapi membuat aku berfikir sendiri bila berseorangan. Yang pastinya, ia berlaku kepada ramai dari kita, walaupun kita mungkin tidak mengaku, termasuk aku sendiri.

Soalnya...apakah puasa kita tadi memenuhi apa yang disyari`atkan?

Datang 1 Syawal dan hari-hari berikutnya..open house demi open house, makan , makan dan makan lagi. Walaupun tidak dipaksa menyambut jemputan ke majlis begini, semakin perit dan berat untuk kita melakukan Puasa 6 hari di bulan Syawal yang akan memberi kita-kita pahala seperti berpuasa setahun penuh!

Pada yang terasa, aku ingin sarankan. Tahun depan jika kita masih bernyawa, buat lah open house di hari pertama Syawal sahaja.

Aku bersyarah pada diriku jua!

Esok hari pertama aku berpuasa insyaAllah, setelah 12 hari Syawal menjelma. Semoga Allah menerima puasa Ramadhan ku dan memberi kelonggaran dan keampunan atas segala kelemahan diriku. Dan semoga Allah melapangkan hati ku dari hiba melihat segala kepincangan yang aku tidak berkuasa menyekatnya.